
GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata rakyat Palestin kini sedang berdepan fasa paling kejam dalam perang di Gaza susulan lebih 12 trak bantuan makanan dirompak selepas melalui sekatan yang dilonggarkan Israel.
Bantuan baharu sahaja mula memasuki Gaza selepas Israel mengumumkan ia akan membenarkan penghantaran terhad disambung semula, namun tidak sampai kepada penduduk yang kelaparan.
Ketua PBB, Antonio Guterres, berkata rakyat Palestin di Gaza sedang menghadapi apa yang mungkin menjadi fasa paling kejam dalam peperangan dan Israel perlu membenarkan serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Katanya, daripada hampir 400 trak bantuan kemanusiaan yang diluluskan untuk memasuki Gaza, hanya 115 berjaya dikumpulkan baru-baru ini.
“Jika diambil kira semua bantuan yang diluluskan setakat ini, ia hanya sedikit sahaja sedangkan bantuan yang amat diperlukan jauh lebih besar.
“Serangan ketenteraan Israel pula semakin memuncak dengan tahap kematian dan kemusnahan yang amat dahsyat turut berlaku seiring dengan penghantaran bantuan,” katanya.
Pegawai agensi pertahanan awam Gaza, Mohammed al-Mughayyir, berkata sekurang-kurangnya 71 orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera dan ramai masih hilang di bawah runtuhan akibat serangan udara Israel pada Jumaat.
Semalam, Program Makanan Sedunia (WFP) mendakwa 15 trak bantuan mereka dirompak pada waktu malam di selatan Gaza ketika dalam perjalanan ke beberapa kedai roti yang disokong WFP.
“Kelaparan, rasa putus asa dan kebimbangan mengenai sama ada bantuan makanan akan terus disalurkan, menyumbang kepada peningkatan ketidaktentuan keselamatan.
“Israel perlu membenarkan lebih banyak bantuan makanan masuk ke Gaza dengan kadar segera,” katanya.
Penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza disambung semula pada Isnin, buat kali pertama sejak 2 Mac, susulan kecaman antarabangsa yang semakin memuncak terhadap sekatan Israel yang menyebabkan kekurangan serius makanan dan ubat-ubatan.
COGAT, badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal awam di wilayah Palestin, memaklumkan bahawa 107 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza pada Khamis.
Namun, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata pada Jumaat bahawa agensi itu membawa masuk antara 500 hingga 600 trak setiap hari semasa tempoh gencatan senjata enam minggu yang berakhir pada Mac lalu.
“Tiada siapa patut terkejut, apatah lagi hairan, melihat bantuan yang amat diperlukan itu dirompak, dicuri atau ‘hilang’,” katanya di platform X.
Tambah beliau, ia memang dijangkakan apabila penduduk dibiarkan kelaparan selama lebih 11 minggu. – AFP
Sumber: Berita Harian
#islamhidupku