
1. Dalam Islam, Rasulullah sangat mementing reputasi pemimpin yang baik sehingga Baginda menegaskan bahawa golongan pertama yang akan dianugerahkan dengan naungan Allah di hari akhirat adalah pemimpin yang adil lagi bersih.
2. Perkara ini dijelaskan oleh al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali yang menyebutkan bahawa: “Pemimpin yang adil ini akan berada dibawah naungan Allah di hari akhirat. Ini adalah kerana, mereka adalah kumpulan yang telah banyak mengorbankan kepentingan peribadi mereka demi menjaga kepentingan rakyat.”
3. Dalam erti kata yang lain, pemimpin diuji dengan kuasa yang ada ditangannya, dia boleh menggunakan kuasanya sesuka hatinya. Tetapi dek kerana takutkan Allah, maka mereka menggunakannya dijalan yang benar, lalu Allah meletakkan kumpulan ini sangat dekat dengan Allah di hari pembalasan.
4. Pemimpin yang bersih akan mengutamakan rakyat dan keadilan. Mereka tidak akan berlaku zalim bahkan memastikan sistem keadilan itu benar-benar dilaksanakan.
5. Perkara ini pernah berlaku di zaman Rasulullah apabila ada seorang wanita dari Bani Makhzum yang mencuri. Bani Makhzum adalah bangsawan yang elit. Rakyat biasa tidak berani untuk mengadukan kes kecurian ini kepada Rasulullah kerana mereka bimbang untuk mengenakan hukuman terhadap golongan bangsawan elit ini. Quraysh cuba untuk memujuk Rasulullah agar perempuan Bani Makhzum ini boleh diberikan keringanan. Berang dengan sikap Qurasyh ini, Rasulullah lantas bangun dan bersabda: Andai sekiranya anakku Fatimah sendiri yang mencuri, akan aku potong tangannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari).
6. Pemimpin yang baik bukan sahaja memiliki sifat yang adil, mereka juga seharusnya dikelilingi oleh penasihat yang membantu mengingatkan mereka kepada Allah Ta’ala.
7. Tahukah kita bagaimana isteri Umar Abdul Aziz menanggalkan gelang perhiasannya lalu diberikan kepada Baitul Mal semata-mata bagi memastikan suaminya mampu untuk menjalankan tugas dengan baik dan adil bagi menjaga kebajikan rakyat.
8. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi yang menyebutkan bagaimana isterinya memilih untuk hidup sederhana dengan suaminya Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau meninggalkan kemewahan dunia sekalipun para pemimpin seperti ini mempunyai kuasa dan kemewahan untuk melakukan sedemikian.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi