
BANGI- Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang turut menghafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan untuk dibiayai pengajian ke luar negara, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, pembiayaan tersebut merangkumi pengajian dalam bidang-bidang profesional yang strategik.
“Pelajar cemerlang SPM yang hafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan oleh MARA untuk dibiayai pengajian mereka ke luar negara dalam bidang-bidang strategik profesional,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk memasukkan inisiatif ini ke dalam dasar penawaran pembiayaan pembelajaran bagi tahun ini dan akan datang.
Katanya, matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan lebih ramai profesional Huffaz dalam pelbagai bidang strategik yang penting untuk pembangunan negara pada masa hadapan.
“Inisiatif ini bukan hanya terhad kepada pelajar-pelajar MRSM Ulul Albab yang cemerlang tetapi juga kepada pelajar-pelajar Huffaz daripada sekolah SBP, SMKA, SABK, Maahad-Maahad Tahfiz sama ada bawah Kerajaan Negeri mahupun persendirian.
“InsyaAllah negara akan bertambah hebat sekiranya kepimpinan masa depan dalam pelbagai sektor, bidang profesional dan industri dipelopori dan diketuai oleh mereka yang menjiwai, memahami dan menghayati Al-Quran,” katanya.
Sumber: Tv Pertiwi
#islamhidupku