
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan Kad Perancang Pewarisan Islam sebagai identiti Perancang Pewarisan Islam (PPI) berdaftar, bertujuan membantu umat Islam berkaitan pengurusan harta, terutamanya wasiat dan hibah.
Kad pengenalan khas itu bertujuan membendung kegiatan penipuan serta penyamaran oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai wakil menawarkan khidmat pengurusan harta.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, berkata Kad Perancang Pewarisan Islam mempunyai pelbagai kelebihan termasuk mengandungi nombor rujukan pelantikan PPI, tarikh sah laku, gambar dan nama agen berkenaan.
“Maklumat ini bertujuan mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah.
“Kad Perancang Pewarisan Islam diberikan kepada PPI yang dilantik MAIS, bertujuan sebagai dokumen rasmi khas selaku ejen PPI yang membantu MAIS berkaitan pengurusan wasiat dan hibah.
“Pelantikan PPI juga bertujuan membantu MAIS terutamanya dalam proses pendaftaran perkhidmatan wasiat dan hibah umat Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Rakan Media dan Rakan Strategik serta Pelancaran Kad Perancang Pewarisan Islam di Hotel De Palma Seksyen 19, di sini hari ini.
Salehuddin berkata, sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam negeri Selangor, MAIS sentiasa komited melaksanakan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah secara adil, telus, profesional dan patuh syariah kepada masyarakat.
“Sehingga bulan Mac lalu, MAIS bekerjasama dengan 63 orang PPI yang berdaftar dan aktif dalam mempromosikan perkhidmatan wasiat dan hibah.
“Sejak April 2022 sehingga Mac 2025, sebanyak 553 dokumen wasiat dan 1001 dokumen hibah telah dikendalikan oleh MAIS dengan kerjasama PPI yang dilantik.
“MAIS menggalakkan orang ramai turut mendaftar sebagai sebagai PPI melalui https://siswa.mais.gov.my/register/agent bagi membantu MAIS menyebarluaskan lagi perkhidmatan ini serta mengambil peluang meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan harta serta menambah pendapatan melaluinya.
“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi nombor di talian 03-5514 3772 atau WhatsApp 010251 9556,” katanya.
Pada majlis sama, MAIS turut menyampaikan simbolik kepada tiga orang penerima Kad Perancang Pewarisan Islam.
Dalam pada itu, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan dan meraikan para pengamal media sepanjang tahun 2024 yang memberi kerjasama yang cemerlang dalam membuat liputan berita MAIS meliputi kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
“MAIS amat menghargai penghargaan media yang membuat liputan berita pada tahun lalu melebihi 700 berita mengenai MAIS yang disiarikan sama ada media cetak, elektronik serta dalam talian.
“Antaranya Radio Television Malaysia (RTM), TV Alhijrah,Selangor Kini, Media Selangor, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Kosmo,Bernama, Siakap Keli, Radio IKIM dan Radio Zayan dan sebagainya meliputi media arus perdana dan media digital.
“Semoga hubungan baik di antara MAIS dengan rakan media dan rakan strategik terus ditingkatkan dan dikekalkan agar informasi berkaitan peranan MAIS, agensi dan anak syarikatnya dapat disebarluaskan lagi kepada masyarakat,” katanya.
Sumber: Berita harian
#islamhidupku