Kutipan Zakat Terengganu Cecah RM301 Juta Pada 2025, Catat Rekod Tertinggi Dalam Sejarah

KUALA TERENGGANU, 13 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melakar sejarah apabila kutipan zakat bagi tahun 2025 buat pertama kali berjaya melepasi angka RM300 juta.

​Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Ali berkata, jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM301 juta itu mencatatkan peningkatan hampir sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya, hasil komitmen 62,106 pembayar zakat di negeri ini.

​”Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen tinggi masyarakat Islam di Terengganu dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

​”Bagi pihak MAIDAM, setiap ringgit yang diamanahkan bukan sekadar angka laporan, tetapi amanah yang membawa harapan kepada golongan memerlukan,” katanya.

​Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Tahun 2026 di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan.

​Majlis tersebut diadakan bagi menghargai 56 syarikat yang menunaikan zakat perniagaan bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mac 2026 dengan nilai keseluruhan RM12,112,711.35.

​Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 syarikat menyumbang zakat bernilai RM100,000 ke atas, manakala selebihnya melibatkan syarikat yang membayar antara RM50,000 hingga RM70,000 ke atas.

​Dalam majlis sama, MAIDAM turut meraikan pembayar zakat bertuah melalui Kempen Zakat Akhir Tahun 2025 yang menawarkan hadiah lumayan termasuk tiket umrah, motosikal, iPad dan mesin pengering pakaian menerusi kempen ‘Jom Potong dan Menang’ serta ‘Zakat Rush’.

​Mengulas mengenai kebajikan asnaf, Zulkifli memaklumkan MAIDAM memperuntukkan RM15.785 juta melalui Skim Bantuan Zakat Sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin Tahun 2026/1447H.

​”Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 29,402 penerima di seluruh Terengganu dengan kadar bantuan antara RM300 hingga RM700 mengikut bilangan isi rumah.

​”Apa yang menarik tahun ini, kaedah agihan diperkemaskan melalui sistem tuntutan di kedai terpilih. Penerima kini boleh menuntut barangan keperluan, pakaian, malah membuat bayaran utiliti serta tambah nilai secara fizikal atau dalam talian,” jelasnya lagi.

​Tambah beliau, agihan zakat secara keseluruhan setakat ini telah melebihi RM324 juta, iaitu peningkatan 1.8 peratus berbanding tahun lalu.

“Saya merakam penghargaan kepada masyarakat atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar akan terus memastikan setiap sen zakat disalurkan dengan telus, amanah dan berkesan,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Menara Tabung Haji Jadi Titik Tumpuan Perhimpunan Hari Al-Quds Sedunia

Related Posts