
Ibn Rushdi menyatakan terdapat seorang wanita mengadu kepada Imam Malik bahawa dia takut haidnya datang awal, lalu dia ingin meminum ubat untuk melambatkan haidnya. Lantas Imam Malik menjawab bahawa perkara itu tidak betul dan menyatakan makruh perbuatan tersebut. Ibn Rushdi berpendapat perkara tersebut dihukumkan makruh kerana dikhuatiri mendatangkan bahaya pada pada tubuh dengan sebab pengambilan ubat kitaran haid. [5]
Pandangan Institut Fatwa Dan Ulama Kontemporari
Dar al Ifta’ Jordan
Keputusan Ifta’ Jordan mengharuskan wanita meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya khususnya apabila terdapatnya keperluan dari sudut syarak untuk mengambilnya. Sebagai contoh semasa melaksanakan ibadah haji dan umrah kerana dikhuatiri penemannya tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkan kedatangan haid selain tujuan menahan haid disebabkan bersemangat menunaikan puasa penuh pada bulan Ramadan. Syarat pengambilan pil menahan haid tidak mendatangkan mudarat pada badan melebihi maslahah yang diingini disamping perlu mendapat keizinan suami. [6]
Dar al Ifta’ Misriyyah
Jawatankuasa Fatwa memutuskan tidak ada halangan pada sudut syarak bagi penggunaan ubat-ubatan dan pil yang melambatkan haid yang membolehkan wanita untuk menyempurnakan sebulan penuh tanpa gangguan.
Dr. Ali Jumuʻah mengharuskan memakan ubat bagi seorang wanita untuk menahan kitaran haid sehingga dapat berpuasa penuh di bulan Ramadan dengan ketetapan syarat berikut : [7]
نعم، يجوز لها ذلك شرعًا، بشرط أن يقرر الطبيب أنه لا ضرر عليها فيه، إلا أن وقوفَها مع مراد الله تعالى، وخضوعَها لما قدَّره الله عليها من الحيضِ ووجوبِ الإفطار أثناءه، أثوبُ لها وأعظمُ أجرًا.
Maksudnya: Ya, ia harus di sisi syarak dengan syarat mestilah mendapat pengesahan daripada doktor bahawa ubat tersebut tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, hendaklah wanita tersebut berserah dengan ketentuan Allah SWT dan patuh dengan apa yang telah ditakdirkan Allah SWT ke atasnya berkenaan haidnya. Dia wajib berbuka puasa ketika mengalaminya. Maka lebih banyak pahala dan ganjaran baginya.
Keharusan makan pil tahan haid masih tertakluk dengan nasihat pakar perubatan yang mengesahkan tidak mendatangkan bahaya pada kesihatan wanita pada jangka masa pendek dan panjang. Sekiranya penggunaannya mendatangkan kemudaratan, maka ia dilarang oleh syarak berdasarkan sabda Nabi SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memberikan mudarat atau saling berbalas memberi mudharat.
Riwayat Ibn Majah (2341)
Walaupun pengambilan ubat menahan haid dibenarkan, namun wanita tersebut perlu mengikut apa-apa kehendak dan ketentuan Allah SWT yang ditetapkan dengan kedatangan haid bagi wanita. Wajib berbuka puasa disebabkan haid adalah pahala dan lebih besar ganjarannya.[8]
Al Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa lebih afdal wanita itu mengikut fitrah kejadian semula jadinya. Darah haid itu adalah sesuatu yang tabi’i dan kekal sebagai fitrah yang ditentukan oleh Allah SWT. Akan tetapi, sekiranya terdapat pil dan ubat-ubatan yang diambil oleh sebahagian wanita untuk melewatkan haid seperti pil perancang dan setengah wanita mengambil pil untuk melambatkan haid daripada kitarannya agar ia tidak berbuka pada beberapa hari di bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang-orang pakar atau nasihat doktor mengenai ubat yang memudaratkan dirinya. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.[9] Pandangan ini lebih kepada mengikut kepada fitrah yang ditetapkan dan tidak mengambil pil adalah lebih baik.
Penutup
Berdasarkan pandangan ulama, memakan ubat untuk melambatkan kitaran haidnya adalah dibolehkan dengan syarat mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu dan ubat tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya. Walau bagaimanapun lebih baik tidak memakan pil kitaran haid agar dapat mengikut fitrah kejadian semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kedatangan haid merupakan sesuatu tanda wanita itu dalam keadaan sihat. Oleh itu, wanita yang mengalami haid ketika bulan Ramadan, boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya di bulan -bulan lain.
Wallahu A’lam
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
17 April 2023, Ulang Siar
#islamhidupku