
IPOH: Larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan dengan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka diperluaskan ke beberapa kawasan lain.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu.
Namun, kelulusan cadangan itu bergantung kepada jumlah tuntutan yang disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ketika ini, penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi.
Susulan larangan penjualan itu di gugusan Manjoi sejak 2021, katanya terdapat tuntutan yang serupa daripada penduduk kawasan lain yang didiami oleh majoriti Melayu-Islam termasuk di kawasan Ulu Chepor.
“Semalam (Jumaat), memang ada satu kelulusan dasar MBI untuk mengkaji perkara itu.
“Bila ada tuntutan penduduk di kawasan yang majoritinya orang Melayu-Islam, maka kita bincang dan secara umumnya kita terima tuntutan itu serta pertimbangkan mengikut kesesuaian kawasan.
“Sekarang ini, kita tahu dekat kawasan gugusan Manjoi memang tiada (premis penjualan arak) disebabkan dulu ada bantahan kuat daripada masyarakat setempat,” katanya.
“Secara prinsip kita setuju, tetapi kita nak tengok dan buat kajian satu per satu di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Restoran Feng Cha di Pusat Perdagangan Canning II, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis, MBI yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhammad Hamzah Md Hamdan menerusi hantaran Facebook (FB) menggesa penjualan minuman keras di kawasan majoriti Melayu di bawah pentadbiran MBI dihentikan.
Muhammad Hamzah yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Perak, dalam hantaran itu memaklumkan sudah menghantar kertas cadangan berhubung perkara itu kepada Datuk Bandar Ipoh.
Sebagai reaksi perkara itu, Rumaizi berkata, selain Ulu Chepor, tuntutan yang sama dibuat penduduk kawasan sekitar Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Beliau menjelaskan sesi bantahan dan pendengaran awam akan dijalankan jika ada keperluan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata sepanjang 2024, sebanyak 30 peratus atau 982 premis makanan daripada 3,200 premis makanan yang dilesenkan oleh MBI, mencapai pengiktirafan pensijilan Gred A.
Kata Rumaizi, MBI akan terus berusaha menjalankan pemantauan pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara rutin dengan mensasarkan pencapaian 50 peratus Gred A bagi premis makanan di dalam kawasan pentadbiran MBI pada tahun ini.
“Pencapaian sasaran ini penting untuk merancakkan ekonomi gastronomi dalam kalangan peniaga premis makanan tempatan sebagai persiapan program MBI untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang mana Ipoh juga terkenal sebagai syurga makanan dan minuman terutama kopi.
“Kriteria pengsijilan Gred A turut mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas menepati konsep bersih, menawan dan wangi (BMW), malah pelaksanaan dasar kebersihan tandas BMW di ambil kira sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan premis makanan yang bermula tahun lalu.
“Sepanjang 2024, hanya 19 tandas premis makanan daripada sebanyak 1,689 keseluruhan tandas yang diperiksa, diberi penarafan tiga bintang dan sudah diambil tindakan surat amaran serta kompaun dan lesen perniagaan tidak diperbaharui pada 2025,” katanya.- Berita Harian
#islamhidupku