Bolehkah Wanita Haid Membaca Al-Quran di Bulan Ramadan?

Soalan

Assalamualaikum, saya nak kepastian tentang kenyataan yang menyebut bahawa bulan Ramadan merupakan bulan membaca al-Quran, maka wanita yang kedatangan haid pun boleh membaca al-Quran. Mohon pencerahan Pejabat Mufti Wilayah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Wanita haid dilarang dan haram membaca al-Quran walaupun dalam bulan Ramadan bagi menjaga dan memuliakan al-Quran itu sendiri, demikian juga membaca nas al-Quran yang terdapat dalam buku-buku agama dengan melafazkannya. Namun wanita haid dibenarkan membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut.

Walau bagaimanapun, wanita haid dibenarkan  membaca potongan ayat al-Quran dengan niat zikir seperti membaca al-Ma’thurat, hizib dan seumpamanya. Begitu juga, wanita haid yang berkeperluan mengulang hafalannya agar tidak lupa disebabkan waktu haid yang panjang dengan syarat niat berzikir berdasarkan pandangan sebahagian ulama mutakhir ulama mutakhir Syafi’iyyah.

Meskipun wanita haid terhalang daripada membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala yang berganda daripada-Nya. Antara amalan yang disyorkan bagi wanita haid dan nifas seperti memperbanyakkan doa, berzikir, sedekah memberi makan kepada orang berpuasa serta beriktikaf di ruang solat rumahnya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran dan dianjurkan untuk memperbanyakkan amal ibadah, bahkan Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang  berganda. Peluang ini perlu direbut oleh umat Islam termasuklah wanita haid. Walaupun golongan wanita yang mengalami haid dan nifas dilarang untuk menunaikan ibadah puasa mahupun membaca al-Quran, namun terdapat pelbagai ibadah lain yang boleh mereka lakukan seperti zikir, doa, sedekah dan sebagainya.

Kenyataan yang tular baru-baru ini berkenaan dengan membenarkan wanita haid membaca al-Quran dalam bulan Ramadan kerana bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran adalah bercanggah dengan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkannya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A berkata, sabda Nabi SAW:

لَا يَقْرَأُ الْجُنُبُ وَلَا الْحَائِضُ شَيْئًا مِنْ القرآن

Maksudnya: Tidak dibenarkan seseorang yang berjunub dan haid membaca sesuatu daripada al-Quran

Riwayat Ibn Majah (639)

Menurut jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, al-Syafi’i dan Hanbali, haram wanita haid membaca al-Quran berdasarkan hadis dari Nabi SAW[1] seperti yang dinyatakan di atas.

Menurut Ibn Qassim al-Ghazzi perkara yang diharamkan ke atas Wanita haid ada lapan perkara antaranya adalah membaca al-Quran. Lafaznya seperti berikut:

ويحرم على الحيض ثمانية أشياء أحدها: (الصلاة)، فرضا أو نفلا؛ وكذا سجدة التلاوة والشكر. (و) الثاني (الصوم)، فرضا أو نفلا؛ (و) الثالث (قراءة القرآن).

Maksudnya: Haram ke atas wanita haid lapan perkara: Pertama, solat fardu atau sunat, begitu juga sujud tilawah dan syukur. Kedua: Puasa fardu atau sunat. Ketiga membaca al-Quran.[2]

Bagi pandangan yang mengharuskannya, antara sebab-sebab wanita haid boleh membaca al-Quran adalah kerana takut terlupa hafalannya disebabkan waktu haid yang panjang. Selain itu, faktor seorang guru yang mengajar al-Quran dibenarkan membacanya ketika haid, ini kerana dikhuatiri akan terjejas pekerjaannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karyanya:

اخْتَلَفُوا فِي عِلَّتِهِ عَلَى وَجْهَيْنِ أَحَدُهُمَا أَنَّهَا تَخَافُ النِّسْيَانَ لِطُولِ الزَّمَانِ بِخِلَافِ الْجُنُبِ وَالثَّانِي أَنَّهَا قَدْ تَكُونُ مُعَلَّمَةً فَيُؤَدِّي إلَى انْقِطَاعِ حِرْفَتِهَا

Maksudnya: Perbezaan pada illah (sebab) menurut pandangan yang mengharuskan wanita haid membaca al-Quran ada dua pendapat, pertama: Disebabkan kerana takut lupa hafalannya kerana tempoh yang panjang, beza dengan sebab berjunub. Kedua: Disebabkan dia seorang guru al-Quran sekiranya tidak membaca al-Quran akan mengganggu proses mengajarnya.[3]

Sementara itu, sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah berpendapat harus membaca seluruh al-Quran  dengan niat zikir bukan tilawah (qiraah)[4], namun ini bukan pandangan yang muktamad di dalam mazhab. Menurut Dr. Muhammad Zuhaili, haram wanita yang haid itu membaca al-Quran berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.Anhuma. Namun, harus sekiranya membaca al-Quran dengan niat zikir seperti mana harus membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut serta harus juga mereka melihat ayat al-Quran. Sebahagian ulama kontemporari mengeluarkan fatwa harus membaca al-Quran kerana darurat untuk mengajar dan belajar di sekolah dan universiti.[5]

Jelas sebagaimana yang disebutkan di atas jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa wanita haid haram membaca al-Quran, larangan ini juga tertakluk ketika dalam bulan Ramadan. Pun begitu, meskipun wanita haid terhalang membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala. Antara amalan yang disyorkan seperti berikut:

  1. Memperbanyakkan doa dan zikir walaupun zikir dari petikan al-Quran namun hendaklah diniatkan semata-mata untuk berzikir atau doa seperti membaca Ma’thurat, hizib dan seumpamanya[6].
  2. Dibenarkan bagi wanita haid yang menghafal al-Quran dan ingin mengulang hafalannya agar tidak lupa dengan bertaqlid kepada pandangan sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah yang mengharuskan bacaan seluruh al-Quran dengan niat zikir bukan tilawah[7].
  3. Memperbanyak sedekah seperti memberi makan untuk berbuka puasa yang mana ganjaran pahalanya diumpamakan seperti orang yang berpuasa[8].
  4. Para wanita haid juga boleh beriktikaf di ruang solat rumahnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan pandangan mazhab Maliki[9] dan Hanafi[10].

Wallahu’alam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Jika Diisytihar Muflis, Wajibkah Membayar Zakat Fitrah?

Next Post

Di Mana Saf Terbaik bagi Wanita Ketika Solat?

Related Posts