
Apabila Trump mengumumkan bahawa Amerika akan mengambil alih semenanjung Gza, ia membayangkan keadaan umat yang sangat lemah. Tanah mereka boleh diambil sesuka hati malah Muslim dengan populasi jutaan manusia boleh dihalau, diusir ke sana ke mari.
Rasulullah pernah mengingatkan kita bahawa akan datang suatu masa nanti, umat ini akan menjadi sangat lemah. Sahabat bertanya, apakah umat Islam ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: bahkan mereka ramai, tetapi walaupun ramai, mereka hanyalah seperti buih. Ditolak terhoyong ke sana ke mari. Rasulullah lalu menjelaskan bahawa pada ketika itu umat Islam ditimpa penyakit wahn.
Apakah itu penyakit wahn? Rasulullah menjelaskan penyakit wahn adalah sifat mencintai dunia dan takutkan mati. Perkataan wahn dari segi bahasa membawa maksud lemah. Ini dapat difahami daripada al-Quran melalui perbualan Nabi Zakaria. Firman Allah:
قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا
“Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah (wahn) dan kepalaku telah ditumbuhi uban..” (Surah Maryam: 4)
Hadis tersebut menggambarkan kepada kita bahawa umat ini akan menjadi lemah kerana penyakit cintakan dunia. Mereka boleh dibeli dengan duit dan harta. Prinsip Islam dan kepentingan bangsa juga boleh tergadai hanya kerana Muslim itu cintakan harta. Demi harta mereka tergamak menggadaikan agama, mencalar kedaulatan negara dan bangsa.
Benarlah sabda Rasulullah, penyakit ini semakin hari semakin jelas. Kerana bimbangkan tekanan ekonomi dan kehilangan habuaan dunia, Muslim sanggup membiarkan kezaliman yang menimpa saudara seagama mereka sendiri. Sedangkan andai sekiranya umat Islam itu bersatu, tiada kuasa yang boleh menggugat keutuhan gabungan tersebut.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
#islamhidupku