KUALA LUMPUR: Selepas menerima pelbagai kecaman berhubung hantaran mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap Jumaat, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka.
Poay Tiong mengakui terdapat kelemahan dalam cara menyampaikan pandangan berkenaan, terutama daripada segi pemilihan kata-kata dan nada hantaran yang menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
Katanya, beliau amat menghormati Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikai atau memperkecil kepentingan ibadah berkenaan.
“Sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin, saya sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila membabitkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
“Saya menerima teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berjanji mengambil iktibar daripada perkara itu dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan.
“Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya.
“Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Terdahulu Poay Tiong mempertikai larangan perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Kenyataannya itu mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat, termasuk pimpinan DAP.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan turut menggesa pemimpin DAP itu menghormati urusan pentadbiran sesebuah negeri serta sensitiviti umat Islam berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat.
Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaan peraturan itu di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan yang mempunyai asas perundangan jelas.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/11/1722948/poay-tiong-akui-silap-pilih-kata-kata