PPZ-MAIWP salur RM70,000 kepada 14 badan kebajikan, surau media

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan atau surau media bagi menyokong usaha membantu warga media yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan PPZ-MAIWP terhadap kebajikan keluarga besar media, termasuk petugas yang berdepan pelbagai ujian kehidupan. Menurut Zulkifli, pihaknya turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat secara simbolik kepada empat penerima yang layak dalam kalangan warga media, membabitkan keperluan kewangan, perubatan dan kaki palsu.

“Mudah-mudahan bantuan ini memberikan kelegaan serta membantu penerima dan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dalam kesibukan warga media membawa kisah orang lain kepada masyarakat, terdapat juga petugas media dan pasukan sokongan yang sedang melalui ujian kehidupan, termasuk memikirkan kos rawatan serta keperluan persekolahan anak.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menyesuaikan kehidupan selepas berhadapan masalah kesihatan, selain mempunyai keluarga yang bergantung harap dan kebimbangan yang perlu dikongsi.

Sehubungan itu, beliau berkata, keprihatinan PPZ-MAIWP turut merangkumi pembayar zakat dan keluarga mereka menerusi Skim Kafalah Muzakki yang menyediakan sumbangan khairat kematian sehingga RM3,000 kepada waris pembayar zakat.

Selain itu, Wakalah Majikan membuka ruang kepada organisasi media yang memenuhi syarat untuk memohon pengembalian sebahagian zakat kakitangan yang dibayar melalui potongan gaji kepada PPZ-MAIWP.

Sumber:
https://www.sinarharian.com.my/article/803284/edisi/selangor-kl/ppz-maiwp-salur-rm70000-kepada-14-badan-kebajikan-surau-media

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Masjid banjir’ tetap adakan solat Jumaat hari ini

Next Post

MAIS perkukuh ketahanan akidah menerusi Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah

Related Posts