IPOH – Malaysia masih belum menerima maklum balas daripada Indonesia berhubung tawaran bantuan bagi memadamkan kebakaran di Kalimantan dan Sumatera yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu dikemukakan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka semasa lawatan rasmi ke Jakarta baru-baru ini. Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar turut menghantar surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia, namun masih belum menerima sebarang respon.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA berkata, Malaysia menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi pemadaman kebakaran di wilayah terbabit. Sementara itu, mengulas kemungkinan tindakan perundangan berhubung isu jerebu rentas sempadan, beliau berkata perkara itu boleh diteliti Jabatan Peguam Negara (AGC) sekiranya perlu.
Beliau menegaskan pendekatan melalui kerjasama dan penyelarasan antara negara serantau perlu diberi perhatian bagi menangani isu berkenaan, selaras dengan semangat ASEAN.
“Tidak ada perbalahan antara Malaysia dengan Indonesia, dan kita serahkan kepada AGC untuk meneliti jika perlu dan jika ada. Atas semangat ASEAN koordinasi (penting) untuk mengelakkan perkara ini (adalah) lebih baik, prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada mengubati),” katanya lagi.
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://malaysiagazette.com/2026/10/11/indonesia-belum-jawab-tawaran-bantuan-padam-kebakaran-zahid/