
BESUT: Keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi bas persiaran di Gerik, Perak, menerima tajaan pakej umrah percuma.
Rosde Yaakub, 58, bapa kepada Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde berkata, dia tidak menyangka mendapat jemputan ke Makkah lebih cepat berbanding perancangan asal, iaitu dua tahun lagi selepas pencen.
“Pemergian ke Tanah Suci ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit kerinduan terhadap arwah.
“Saya terkejut apabila wakil daripada syarikat umrah datang menjemput saya bersama isteri Juariah Abd Rahman, 48, untuk menyertai rombongan umrah ini,” katanya ketika ditemui ketika menyertai kursus umrah, hari ini.
Sementara itu Maslihaizan Yahya, 50, bapa kepada Allahyarham Sufea Adela berkata, dia akan menunaikan umrah bersama isterinya, Zabidah Ibrahim, 49.
“Jemputan jadi ‘tetamu Allah’ ini dapat mengubati sedikit kesedihan selepas pemergian mengejut anak tersayang,” katanya.
Sukarelawan van jenazah Pertubuhan Amal Komuniti Besut, Ahmad Nazrul Muhammad,37, berkata, dia bersyukur kerana turut terpilih menyertai rombongan umrah itu bersama waris pelajar.
“Saya bersama Pengerusi Pertubuhan Amal Komuniti Besut Terengganu, Mohd Azizul Azli Mohd Sani akan bersama dalam rombongan umrah ini.
“Sebelum ini kami mengiringi perjalanan jenazah 15 pelajar yang terkorban dari Hospital Ipoh, Perak sehingga ke tanah perkuburan kali ini diberi peluang bersama waris mereka untuk menunaikan umrah,” katanya.
Dalam pada itu, wakil agensi pelancongan berkenaan, Wan Muhamed Anwas Wan Abdullah berkata, syarikat mengambil inisiatif untuk membiayai pakej umrah berharga RM10,000 setiap seorang sebagai tanda prihatin serta sokongan terhadap keluarga mangsa ketika melalui detik sukar.
“Kumpulan pertama disertai lima keluarga akan bertolak pada 13 hingga 24, kumpulan kedua yang akan disertai empat keluarga pada 20 hingga 31 Julai.
“Kumpulan terakhir pula akan bertolak pada 7 sehingga 18 September,” katanya.
Sumber: Buletin TV3
#islamhidupku