
JEDDAH: Beberapa peraturan baharu akan dilaksanakan pada musim haji kali ini, khususnya larangan jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, peraturan itu dimaklumkan dalam pertemuan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama menteri dan ketua rombongan haji negara masing-masing, hari ini.
Ini kerana, katanya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi meningkatkan keselamatan jemaah haji pada tahun ini supaya kejadian jemaah haji meninggal dunia akibat strok haba tidak lagi berlaku.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan sistem pengangkutan dan jemaah haji diminta menaiki kenderaan yang disediakan.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil suhu panas yang dijangka melampau seperti tahun lepas.
“Jemaah haji tidak lagi dibenarkan keluar, khususnya masyair di Arafah, dari 10 pagi sehingga 4 petang.
“Jemaah haji dilarang pergi ke Masjid Namira dan Jabal Rahmah seperti mana kebanyakan jemaah haji kita minat sangat untuk keluar,” kata Mohd Na’im.
Selain itu, kata beliau lagi, semua jemaah haji perlu memakai Kad Nusuk untuk mengelak dikenakan tindakan tegas.
Polis Arab Saudi ketika ini melakukan pemeriksaan di hotel dan penginapan untuk menangkap jemaah haji tanpa permit.
Sumber: Astro Awani
#islamhidupku