
BANGI, 25 SYAABAN — Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) menggesa umat Islam di negara ini tidak melepaskan peluang merebut ganjaran Lailatul Qadar.
Setiausaha Agungnya, Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata bagi mendapat ganjaran itu, persiapan Aidilfitri seharusnya dibuat sebelum memasuki Ramadan.
“10 hari terakhir waktu itulah pusat membeli-belah semakin sibuk dengan banyak persiapan di penghujungnya untuk Aidilfitri dan sebagainya.
“Sekarang belum masuk Ramadan, buatlah persiapan awal, hias rumah dari sekarang. Tidak perlu pening buat persiapan baju raya di hujung Ramadan, maka beli dari sekarang.
“Jika membeli dari platform atas talian, beli sekarang supaya malam-malam Ramadan tidak digunakan untuk perkara sebegitu,” katanya kepada TV Pertiwi.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut awal Ramadan pada Ahad ini tertakluk kepada perkiraan rukyah dan hisab.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada Jumaat yang akan dilakukan di balai cerapan seluruh negara.
Ahmad Syamil berkata Ramadan kali ini harus dijadikan medan perubahan dengan umat Islam diseru melakukan persiapan Aidilfitri lebih awal.
Katanya, ganjaran Lailatul Qadar terlalu besar untuk dilepaskan dan persediaan untuk menghadapinya perlu dilakukan sejak hari pertama Ramadan.
“Lumrah biasa manusia membuat persiapan pada waktunya. Tetapi bila kita tahu ada perkara yang lebih besar, maka kita tahu apa yang ingin kita utamakan pada malam akhir Ramadan.
“Kerana di situlah kebiasaan Lailatul Qadar pada malam akhir Ramadan. Semua itu Allah rahsiakan kerana Allah mahu manusia mencarinya ibarat mencari harta karun.
“Orang yang dapat harta karun ini bukan kerana nasib sahaja tetapi mencuba segala daya dan upaya untuk mencari harta itu. Mereka tidak teka-teka sahaja,” katanya. -Tv Pertiwi
#islamhidupku