
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan kadar zakat fitrah di negeri ini pada tahun ini tidak kurang daripada RM10 seorang.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata kadar bagi yang menggunakan beras jenis Basmathi atau setara pula ditetapkan RM21 seorang.
Katanya, seramai 998 amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah di seluruh negeri tahun ini.
“Kita menyasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM12.1 juta pada tahun ini.
“Kadar zakat fitrah ditetapkan berdasarkan harga beras gred tempatan mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.60 kilogram,” katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1446H/2025M, di sini, semalam.
Terdahulu, Shaikh Harun merasmikan Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin, di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.
Shaikh Harun berkata MAIDAM akan mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada 28,829 asnaf fakir dan miskin membabitkan perbelanjaan sebanyak RM15.5 juta.
Katanya, isi rumah yang tidak mempunyai tanggungan akan menerima bantuan sebanyak RM300 manakala isi rumah mempunyai tanggungan dua dan tiga akan menerima RM500 dan memiliki tanggungan melebihi empat akan menerima RM700.- Buletin Tv3
#islamhidupku