
KUALA LUMPUR: Pengasas Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Datuk Mohd Fadzli Yusof dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M.
Anugerah Khas turut diberikan kepada Pakar Perunding Pelawat O&G Hospital Pakar An Nur, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj @ Ramli kategori ilmuwan dan Pengasas Program Dakwah Bergerak, Mohd Farhan Abdullah yang meraih Anugerah Khas Kategori aktivis mualaf.
Selain itu, pendakwah bebas, Muzayyanah Abdullah menerima Anugerah Khas Kategori Pendakwah Kreatif, dan Pengusaha Faros F&B And Trading, Rosman Ariffin pula menerima Anugerah Khas Usahawan Asnaf.
Penganugerahan ini mencerminkan penghargaan terhadap usaha gigih dan sumbangan besar individu dalam memperkukuh syiar Islam serta memperkasa komuniti ummah menurut acuan Insan Al-Falah iaitu insan yang cemerlang, seimbang daripada aspek duniawi dan ukhrawi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Hadiah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan, dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Tokoh Utama menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan kepingan emas, manakala penerima Anugerah Khas bagi keempat-empat kategori masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta plak dan sijil.
Mohd Fadzli yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) menyifatkan penganugerahan ini sebagai satu cabaran dan rangsangan berbakti kepada masyarakat Islam di negara ini.
“InsyaAllah kalau diberi kesihatan, diberi kelapangan, maka saya akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi kehebatan Islam, khususnya di wilayah Persekutuan ini.
“Sempena dengan hijrah ini, bererti satu pengorbanan, satu perubahan, kita kena ubah, pertama sekali kita ubah diri kita.
“Lepas itu baru kita boleh ubah masyarakat dengan apa cara yang kita rasa selaras dengan kehendak Islam,” katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1447H/2025M di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M diadakan bertujuan memperingati dan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW supaya dapat membina masyarakat berteraskan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan, selari dengan prinsip Malaysia MADANI.
Majlis dihadiri lebih 1,200 tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin agensi kerajaan dan swasta serta pelajar-pelajar tahfiz.
Selain itu, majlis turut diisi dengan Bual Bicara Khas Maal Hijrah yang bertemakan “Membangun Ummah MADANI”, menampilkan dua panel iaitu Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan dan Pensyarah Kanan, Universiti Malaya, Dr. Faisal bin Hamid @ Abdul Hamid.
Sumber: Buletin Tv3