Ayer Keroh: Pelantikan Datuk Rais Yasin sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang menerajui portfolio Hal Ehwal Agama Islam Melaka disifatkan bertepatan latar belakang akademiknya dalam bidang syariah
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu juga mempunyai kelayakan akademik dalam aspek pengurusan dan pentadbiran wakaf pendidikan.
Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir, itu berkata beliau bersyukur atas kepercayaan diberikan untuk menerajui portfolio berkenaan.
Katanya, beliau berazam melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menerajui portfolio besar ini.
“Saya berazam untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik dan memastikan amanah yang diberikan dapat ditunaikan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Seri Negeri, di sini hari ini.
Pada istiadat berkenaan, beliau dilantik sebagai EXCO Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri.
Rais, 42 memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, sebuah institusi pengajian tinggi Islam terkemuka dunia yang melahirkan ramai ilmuwan serta tokoh agama.
Beliau juga melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains Pengurusan dan Pentadbiran dalam bidang Wakaf Pendidikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Asas pendidikan agamanya pula bermula di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah, sebuah institusi pendidikan yang terkenal dengan penekanan terhadap pengajian Islam dan bahasa Arab.
Gabungan kelayakan dalam bidang syariah serta pengurusan itu dilihat menjadi kelebihan kepada Rais untuk menerajui portfolio berkenaan, khususnya dalam memperkukuh pentadbiran institusi agama, pembangunan syiar Islam dan kesejahteraan umat Islam di Melaka.
Malah, pengkhususannya dalam bidang wakaf pendidikan turut dilihat berpotensi menyumbang kepada usaha memperkasa pengurusan aset wakaf, institusi pendidikan Islam serta pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri itu.
Pelantikan itu sekali gus membuka ruang kepada Rais untuk menterjemahkan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki kepada pendekatan pentadbiran lebih berkesan. Ia selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan Islam secara menyeluruh.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan dengan majoriti 16,214 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, sekali gus mencatat majoriti tertinggi pada pilihan raya berkenaan.
Kemenangan itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Sungai Udang yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 530 undi pada PRN 2021.
Sumber:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/11/1438400/pelantikan-rais-terajui-hal-ehwal-islam-bertepatan-latar-belakang-akademik?source=widget