KUCHING : Polis hanya akan mendedahkan punca kejadian pelajar lelaki menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah swasta di sini, Selasa depan.
Bahagian Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berkata, satu sidang media berkaitan kejadian itu akan diadakan pada 27 Oktober ini selepas siasatan selesai dijalankan.
Menurutnya, ketika ini kes masih dalam siasatan dan pasukan penyiasat sedang bertungkus-lumus menjalankan pelbagai tindakan termasuk mendapatkan serta mengesahkan fakta sahih bagi memastikan setiap maklumat diperoleh adalah tepat.
“Kami memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan siasatan dengan teliti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan mencederakan guru wanita di sekolah terbabit dalam kejadian yang dilaporkan jam 8.03 pagi.
Kejadian itu dilaporkan selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat menerusi talian MERS 999.
Maklumat awal mendapati pelajar terbabit membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru berkenaan menggunakan kapak, manakala mangsa dilaporkan mengalami luka pada tangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.
Pelajar terbabit ditahan sejurus kejadian dan kemudian dirujuk ke wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS).
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan bagi menghormati proses perundangan dan menjaga kepentingan semua pihak terbabit.