
KUALA LUMPUR: Sempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 tahun ini, satu percubaan untuk mencipta rekod Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai akan dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records itu akan menampilkan bacaan al-Quran di dalam kereta api rentas sempadan antarabangsa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah tidak terikat pada mimbar atau dewan, tetapi boleh disampaikan di mana jua dengan pendekatan segar, bermakna dan penuh nilai.
“Ia membuka lembaran baharu dalam penyampaian syiar Islam melalui teknologi, logistik dan kreativiti.
“Cuma, saya pesan kepada jawatankuasa penganjur, bila dalam kereta api itu ada orang lain, mungkin ada penumpang bukan Islam, kena pastikan tidak mengganggu orang lain,” katanya selepas merasmikan prapelancaran MTHQA ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Beliau berkata, MTHQA ke-65 yang akan berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos depan di WTCKL bakal menyaksikan seramai 72 peserta dari 50 negara berentap dalam dua kategori utama iaitu Tilawah dan Hafazan al-Quran 30 Juzuk.
Mohd Na’im berkata, majlis pada tahun ini membawa tema “Membangun Ummah MADANI” yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina masyarakat bertamadun yang berakar pada nilai-nilai Qurani.
Hadiah wang tunai yang lumayan turut menanti para pemenang dengan Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000, manakala Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM30,000 dan RM20,000.
Beliau berkata, bagi menjamin kredibiliti penjurian bertaraf dunia, MTHQA ke-65 bakal diadili oleh seramai 16 orang hakim antarabangsa dari Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan Indonesia.
Sumber: Buletin Tv3