Jangan Aniaya Sesama Islam Dengan Pakej Haji Palsu – Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah mengingatkan umat Islam agar tidak menganiaya sesama sendiri dengan mengambil kesempatan menawarkan pakej haji palsu demi mengaut keuntungan secara menipu dan memperdayakan orang lain.

Baginda menzahirkan harapan agar pihak kerajaan memandang serius isu berkenaan dan memastikan tiada lagi jemaah haji yang menjadi mangsa penipuan oleh ejen-ejen tidak bertauliah.

“Ingatlah, agama Islam melarang umatnya menipu dan Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas segala dosa mereka yang memperdaya orang lain,” titah baginda dalam ucapan pada Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda ke program itu diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin turut berharap jemaah haji tahun ini terus mengekalkan disiplin diri sepanjang berada di Tanah Suci serta menjaga nama baik negeri Selangor dan negara Malaysia.

“Setakat ini, beta dimaklumkan bahawa jemaah haji Malaysia, termasuk dari Selangor, adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Tumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi. Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan, khususnya ketika berada di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sentiasalah berhubung dengan petugas-petugas haji dan ikuti segala arahan yang diberikan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan diri kerana ibadah haji memerlukan ketahanan fizikal yang baik, dan sebarang masalah kesihatan boleh menjejaskan ibadah yang dilaksanakan.

Sumber: Buletin Tv3

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MAIS Daftar 1,875 Mualaf Sepanjang Tahun Lepas

Next Post

Agensi Terlibat Penipuan Haji Akan Dibatalkan Lesen Serta-Merta – Menteri Agama

Related Posts