
“I merajuk dengan Allah sebab semua doa masa Umrah tahun lepas tak makbul pun.”
Semalam saya terbaca lebih kurang beginilah seseorang tulis di Threadsnya.
Sebenarnya banyak salah faham tentang hakikat doa dalam kata-kata ini yang saya rasa perlu diluruskan semula:
- Pertama, meletakkan tempoh masa untuk kemakbulan doa. Kalau tidak makbul dalam masa tertentu, maka doa sia-sia.
- Kedua, melihat kemakbulan doa cuma dalam satu cara sahaja iaitu dengan dapat apa yang kita minta. Jika tidak dapat, doa tak makbul.
- Ketiga, meletakkan diri sebagai “hakim” ke atas Tuhan untuk tentukan kemakbulan doa.
- Keempat, menganggap doa sebagai transaksi dan bukan ibadah.
- Kelima, menyalahkan Allah SWT atas ketidakmakbulan doa dan tidak muhasabah diri.
- Keenam, mengukur kasih sayang Allah SWT melalui hasil pemberian-Nya.
Saya akan huraikan satu persatu secara ringkas.
Pertama, letakkan tempoh masa dalam kemakbulan doa.
Perkara ini berlaku kerana sifat tergesa-gesa dan tidak sabar.
Kita rasa doa mesti dimakbulkan dengan secepat mungkin.
Jika tidak dimakbulkan, doa akan dirasakan sia-sia.
Sebenarnya, ketergesaan inilah yang menjadi punca doa tidak akan dimakbulkan.
Sebab dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Doa seseorang daripada kamu akan dimakbulkan selagi dia tidak tergesa-gesa.”
Bila para sahabat bertanya apakah maksud tergesa-gesa, Baginda SAW menjawab,
“Dia berkata: Aku telah berdoa, tetapi doaku tidak dimakbulkan.” – HR al-Bukhari 6340.
Nabi Muhammad SAW sendiri menjamin bahawa doa-doa kita akan dimakbulkan.
Hanya kita yang perlu bersabar menanti waktunya tiba.
Kedua, melihat pengabulan doa hanya dengan satu bentuk sahaja iaitu kita dapat apa yang kita minta.
Ini adalah kesilapan yang terbesar dalam berdoa.
Kita sempitkan pengabulan doa dengan hanya permintaan kita sahaja.
Sedangkan pintu pengabulan doa sangatlah luas.
Sabda Nabi SAW:
“Tiada seorang muslim apabila dia berdoa dengan apa-apa doa dalam keadaan dia tidak berdoa untuk dapatkan perkara dosa dan tidak memutuskan silaturrahim, melainkan Allah akan memberinya salah satu dari tiga keadaan:
Sama ada Dia akan menyegerakan permintaan tersebut atau menyimpan doa tersebut pada hari Akhirat ataupun menjauhkan si pemohon daripada keburukan.
Kemudian para sahabat berkata, ‘Maka kami akan perbanyakkan doa.’
Kata Rasulullah SAW, ‘Di sisi Allah SWT ada ganjaran yang lebih besar.”
- HR Ahmad 11133
Para sahabat memahami hakikat kemakbulan doa bukan hanya dengan apa yang diminta, tetapi lebih luas daripada itu.
Jika doa kita tidak dimakbulkan di dunia, doa kita tidak akan sia-sia.
Allah SWT akan simpan balasan doa tersebut di hari Akhirat atau menjauhkan kita daripada keburukan.
Dalam apa sahaja situasi, kita akan sentiasa dapat kebaikan dan keuntungan dalam berdoa.
Ketiga, meletakkan diri sebagai “hakim” ke atas Allah SWT untuk kemakbulan doa.
Kemakbulan doa ialah hak mutlak Allah SWT.
Dia akan mengabulkan doa-doa kita berdasarkan hikmah, pengetahuan dan rahmah-Nya.
Dengan kita mempersoalkan kenapa doa kita tidak makbul seperti kita minta, kita letakkan diri kita di posisi yang seolahnya layak menilai segala keputusan Allah SWT.
Sedangkan Allah SWT tidak dipersoalkan segala perbuatan-Nya.
Firman Allah SWT:
لَا يُسْـَٔلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْـَٔلُونَ
“Dia tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan, tetap merekalah yang akan ditanya.” (al-Anbiya’: 23)
Kita sebagai hamba yang akan dipersoalkan dan ditanya segala perbuatan dan amalan kita.
Keempat, menganggap doa sebagai satu transaksi dan bukan ibadah.
Kesilapan di sini ialah kita lihat doa sebagai satu transaksi.
Seperti kita order barang dan seolahnya kita ialah pelanggan.
Apa yang kita order A mesti dapat A.
Kita rasa ibadat kita ialah “bayaran” untuk dapat apa yang kita inginkan.
Jika tak dapat seperti apa yang kita minta, kita akan marah.
Doa sebenarnya ialah ibadah iaitu pengabadian yang kita buat kepada Allah SWT.
Saya ada ulas di sini: (https://www.threads.com/@fakhrifadzli/post/DRogiknkgch…)
Kelima, menyalahkan Allah SWT atas ketidakmakbulan doa dan tidak muhasabah diri.
Setiap doa akan dimakbulkan, namun kita perlu sedar ada perkara-perkara yang boleh menghalang kemakbulan doa.
Antaranya ialah memakan sesuatu daripada sumber yang haram, berdoa dalam keadaan lalai dan tidak bersungguh-sungguh, berdoa dengan sesuatu yang Allah tidak redai dan lain-lain lagi.
Penting untuk kita belajar apakah perkara yang menghalang kemustajaban doa supaya kita dapat muhasabah diri kita sendiri.
Dalam sebuah hadis, sabda Nabi Muhammad SAW:
“Kemudian Baginda SAW menyebutkan seseorang yang melakukan perjalanan panjang dalam keadaan dirinya kusut dan kotor, dia menadah kedua tangannya ke langit seraya berdoa, ‘Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,’ namun makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan kenyang dengan sesuatu yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan?”
- HR Muslim 1015.
Maka doa kita jika tidak makbul adalah kerana kesalahan dan maksiat kita sendiri.
Allah SWT tidak sesekali akan menzalimi hamba-hamba-Nya.
Keenam, mengukur kasih sayang Allah SWT melalui hasil pemberian-Nya.
Ini yang paling menyedihkan.
Kita sangka, kalau dapat sesuatu daripada nikmat keduniaan, bermakna Allah SWT sayang.
Jika kita terhalang daripada sesuatu daripada nikmat keduniaan, bermakna Allah SWT benci kita.
Sedangkan dalam sejarah para Anbiya’, ada doa mereka yang lambat dimakbulkan, seperti Nabi Nuh yang menunggu sehingga 950 tahun.
Ada yang menanti sejak dari muda sehingga beruban dan lanjut usia seperti Nabi Zakariyya.
Lambat atau cepat doa kita dimakbulkan bergantung kepada hikmah dan ilmu Allah SWT yang Maha Luas.
Boleh jadi dengan kelambatan doa kita dimakbulkan, itu ialah kebaikan buat diri kita. Sebab dalam penantian, kita semakin dekat dan rapat dengan-Nya dan itu lebih berharga di sisi-Nya.
Boleh jadi dengan doa kita tidak dimakbulkan seperti yang kita minta, juga menjadi kebaikan buat diri kita.
Allah SWT tahu apa yang terbaik buat diri kita dan apa yang tidak baik, maka Dia jauhkan keburukan itu daripada kita.
KESIMPULAN
Saya akhiri dengan satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Ibn ‘Ataillah al-Sakandari tentang kemustajaban doa.
Kata beliau:
متى أطْلَقَ لسانَكَ بالطَّلبِ؛ فاعْلَمْ أنَّه يُريدُ أنْ يُعطيَكَ
“Apabila Allah SWT menggerakkan lidahmu untuk meminta, maka ketahuilah bahawa Dia sedang berkehendak untuk memberi kepadamu.”
Betapa indahnya. Jika Allah SWT ilhamkan kepada kita untuk berdoa kepada-Nya, itu ialah tandanya bahawa Allah SWT ingin memberi kepada kita.
Doa itu sendiri ialah satu kurnian dan anugerah daripada Allah SWT, sebelum perkara-perkara yang lain.
Dengan hanya dapat berdoa, sebenarnya kita sudah dapat kebaikan yang sangat besar kerana kita sedang berada dalam keadaan ibadat. Kita zahirkan kefakiran dan kelemahan diri kita dengan memohon kepada-Nya.
Demi Allah! Ini ialah sebuah kenikmatan.
Kata Ibn ‘Ataillah lagi:
لا يكن تأخر أمد العطاء مع الإلحاح في الدعاء موجبًا ليأسك، فهو ضمن لك الإجابة فيما يختاره لك، لا فيما تختاره لنفسك، وفي الوقت الذي يريد، لا في الوقت الذي تريد.
“Jangan sekali-kali kelewatan pemberian -walaupun engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa- menyebabkan engkau berputus asa. Sebab Allah SWT telah menjamin untuk menjawab doamu menurut apa yang Dia pilih untukmu, bukan menurut apa yang engkau pilih untuk dirimu sendiri, dan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki.”
Maka jangan putus asa dalam berdoa.
Allah SWT jamin doa akan dimakbulkan.
Cuma mesti dibezakan apa yang tidak menjadi hak kita untuk tentukan iaitu bentuk pengabulan doa dan bila doa akan dimakbulkan.
Wallahu’alam.
Fakhri Fadzli
Sumber: FB Fakhri Fadzli