
Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, dalam sejarah hidup Nabi SAW, berapa kalikah Baginda dapat menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan? Mohon jawapan daripada Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Sepanjang hayat Nabi Muhammad SAW, Baginda telah mengerjakan puasa sebanyak 9 siri Ramadan, lapan tahun berpuasa dengan 29 hari kecuali 1 tahun Baginda berpuasa sebanyak 30 hari.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah (183)
Ayat ini merupakan dalil pensyariatan puasa ke atas seluruh umat Islam termasuklah juga ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ayat yang menyatakan kewajipan berpuasa ini diturunkan bulan Syaaban tahun kedua Hijrah[1].
Bermula daripada tarikh pensyariatan ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan sebanyak 9 kali[2], iaitu sehinggalah Baginda wafat pada bulan Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah.
Syeikh al-Bujairami mengulas lebih berkenaan puasa Rasulullah SAW dengan memperincikan bahawa Baginda pernah berpuasa penuh sebulan iaitu 30 hari hanya sekali dalam hidup Baginda, manakala bagi baki lapan siri puasa Ramadan, Baginda berpuasa sebanyak 29 hari[3]. Terdapat juga beberapa pandangan yang mengatakan bahawa Baginda berpuasa penuh 30 hari sebanyak dua kali[4] dan ada juga yang mendakwa Baginda berpuasa 30 hari sebanyak 4 kali.
Wallahu A‘lam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
22 Mac 2024, Ulang Siar
#islamhidupku