Banjir kilat: Malaysia perlu sistem ramalan awal berasaskan AI, IoT – Pakar

KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan bencana negara disaran beralih daripada pendekatan pemantauan reaktif kepada sistem ramalan awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) bagi menghadapi ancaman banjir kilat yang semakin sukar dijangka.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang penderiaan IoT, Prof Dr Alyani Ismail berkata meskipun Malaysia memiliki infrastruktur asas pemantauan banjir seperti rangkaian telemetri kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), cabaran utama ketika ini ialah keupayaan meramal kejadian lebih awal.

Menurut beliau, dinamik banjir kilat di kawasan bandar jauh berbeza dengan banjir monsun bermusim kerana ia berlaku dalam tempoh masa yang amat singkat dan memerlukan tindak balas pantas.

“Kita perlu membezakan antara penggunaan teknologi untuk memantau banjir dengan keupayaan meramal banjir kilat lebih awal.

“Sistem amaran kita perlu bergerak daripada sekadar melaporkan kenaikan paras air kepada sistem yang berupaya menganalisis corak hujan dan aliran air.

“Kita mahu sistem ini membantu menjangkakan risiko di lapangan sebelum keadaan menjadi bahaya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Mengulas lanjut, Alyani berkata integrasi IoT membolehkan data kritikal seperti intensiti hujan serta kelajuan aliran air dihantar secara automatik ke pusat kawalan.

Menurutnya, data berkenaan penting kerana peningkatan mendadak kelajuan air boleh mencetuskan risiko besar walaupun paras sungai pada peringkat awal kelihatan rendah dan selamat.

Alyani berkata pendekatan berasaskan ramalan data itu selaras dengan usaha kerajaan menerusi konsep tindakan awal (anticipatory action) yang ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi memperkukuh sistem amaran awal pintar negara.

Sehubungan itu, UPM sedang membangunkan inovasi Eyes on the River (AIR) yang memanfaatkan teknologi kamera dan analisis video berasaskan AI untuk mengukur kelajuan aliran sungai tanpa memerlukan sensor fizikal dipasang di dalam air yang berisiko rosak atau hanyut.

Bagaimanapun, beliau berkata keberkesanan ekosistem amaran pintar itu masih bergantung kepada ketahanan rangkaian komunikasi, termasuk penggunaan sistem satelit sebagai pelan kontingensi serta keupayaan memastikan amaran diterima rakyat dengan cepat dan jelas.

“Sistem yang canggih macam mana sekalipun tidak akan memberikan manfaat sepenuhnya sekiranya amaran itu gagal sampai atau tidak difahami tepat pada masanya oleh masyarakat yang berada dalam zon bahaya,” katanya.

Sumber:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-kilat-malaysia-perlu-sistem-ramalan-awal-berasaskan-ai-iot-pakar

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wanita dipenjara tiga bulan, didenda kerana sembunyi kelahiran bayi

Next Post

Patung emas gergasi, penari berjubah merah undang kontroversi… Jakim siasat unsur pemujaan dalam konsert The Weeknd

Related Posts