KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang pada Sabtu.
Perdana Menteri menegaskan, tiada sebarang justifikasi bagi serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
“Tiada sebarang justifikasi bagi serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam. Membahayakan nyawa orang tidak bersalah hanya akan menambah penderitaan yang sudah ditimbulkan oleh konflik ini, selain membawanya ke tempat yang sepatutnya tidak terjejas,” katanya hari ini.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika konflik di rantau Asia Barat semakin memuncak dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi. Menurut laporan agensi antarabangsa, peluru berpandu mengenai kompleks lapangan terbang yang menempatkan Terminal 3 dan 4 bagi penerbangan domestik.
Pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan 12 kematian dan lebih 300 kecederaan, termasuk mangsa yang berada dalam keadaan kritikal. Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 309 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi semalam. Foto media sosial.
Kumpulan Houthi sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terdahulu, namun tanggungjawab terhadap serangan terbaharu itu belum disahkan secara bebas ketika laporan awal dikeluarkan. Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dan rakyatnya ketika negara itu berdepan situasi genting.
Beliau turut menyuarakan harapan agar diplomasi dan kewarasan dapat diutamakan bagi mengelakkan konflik berkenaan merebak dengan lebih meluas.
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://malaysiagazette.com/2026/10/11/anwar-kecam-serangan-di-riyadh-arab-saudi/