Al-Jazari (1136-1206): Bapa Robotik Terawal dari Dunia Islam

Al-Jazari (1136-1206): Bapa Robotik Terawal dari Dunia Islam
Al-Jazari dianggap sebagai salah seorang tokoh besar dalam bidang kejuruteraan kerana hasil ciptaannya telah membuka pintu kepada kemunculan lebih banyak banyak mesin yang memainkan peranan penting dalam Revolusi Industri di Eropah. Bukan itu sahaja, ia bahkan menjadi tunjang utama tamadun moden.
Nama penuh beliau ialah Badi’ al-Zaman Abu al-‘Izz bin Ismail bin al-Razzaz Al-Jazari. Beliau dilahirkan di Jazirah Ibn Umar dan dari situlah gelaran “Al-Jazari” berasal. Kawasan ini dahulunya merupakan sebahagian daripada Syam dan hari ini ia terletak dalam Turki, betul-betul di sempadan dengan Syria. Walaupun ia tidak menghadap laut, nama “Al-Jazirah” (pulau) diberikan kepadanya kerana banyaknya sungai di sekelilingnya. Terdapat pendapat yang mengatakan nama itu berasal daripada perkataan Suryani lama “Jazarta” yang bermaksud “yang jauh” dan lama-kelamaan bertukar menjadi “Jazirah” dalam bahasa Arab.

๐— ๐—ฒ๐˜€๐—ถ๐—ป ๐—”๐˜‚๐˜๐—ผ๐—บ๐—ฎ๐˜๐—ถ๐—ธ ๐—ง๐—ฒ๐—ฟ๐—ฎ๐˜„๐—ฎ๐—น
Jurutera ini dianggap antara orang pertama yang berfikir dan berjaya mencipta mesin yang bergerak sendiri, beroperasi tanpa tenaga manusia. Semua itu terkandung di dalam sebuah ‘buku manual’ yang dikenali secara ringkas sebagai kitab al-Hiyal. Ia mengandungi pelan bagi 100 mesin mekanikal dan penjelasan tentang cara membuat setiap satunya. Tambahan pula, al-Jazari menggunakan air yang mengalir sebagai cara untuk menggerakkan kebanyakan mesin dan ciptaannya.
Sejarawan berpendapat bahawa al-Jazari merupakan mata rantai penting dalam sejarah perkembangan industri mesin. Beliau memanfaatkan idea-idea daripada mereka yang terdahulu dan melakukan penambahbaikan yang menjadikan idea-idea tersebut bersedia untuk beralih kepada bentuk moden yang kita kenali hari ini, seperti penemuannya yang paling agung iaitu teori yang menyatakan “bahawa gerakan bulat boleh menghasilkan daya dorongan ke hadapan”.
Penemuan ini membawanya kepada penciptaan aci sesondol (Camshaft), iaitu aci yang berputar dengan tekanan omboh enjin sehingga menghasilkan daya dorongan ke hadapan seperti yang berlaku dalam enjin kereta. Al-Jazari menggunakan teknik ini dalam membina pam air yang menolak dan menyedut, yang memanfaatkan teknologi gerakan sendiri tanpa tenaga dorongan manusia atau haiwan. Beliau juga menggunakannya dalam pembuatan barang seni mekanikal yang bergerak, kebanyakannya berbentuk burung merak, yang digunakan di istana Bani Artuq, salah satu dinasti Turki yang memerintah wilayah Diyarbakir di Turki, di mana Al-Jazari memegang jawatan ketua jurutera di istana mereka.
Orang Eropah kemudiannya memanfaatkan hasil penemuan al-Jazari selepas dua abad dan berusaha untuk memahaminya. Akhirnya, mereka berjaya mencipta enjin moden dan menjadi pencetus kepada bermulanya era kereta api wap yang menjadi tulang belakang era Renaissance dan Revolusi Industri Eropah pada Zaman Pertengahan.
๐—”๐—ป๐˜๐—ฎ๐—ฟ๐—ฎ ๐—›๐—ฎ๐˜€๐—ถ๐—น ๐—–๐—ถ๐—ฝ๐˜๐—ฎ๐—ฎ๐—ป
Antara sumbangan lain al-Jazari dalam bidang pembangunan mesin pertanian ialah penciptaan rantai. Beliau orang pertama yang menggunakan rantai logam untuk memutar aci sesondol, iaitu teknik yang sama digunakan dalam enjin kereta.
Jurutera genius ini turut membuat jam lilin paling tepat dalam sejarah, yang memperkenalkan idea apa yang dikenali hari ini sebagai “jam randik” untuk mengukur masa yang diambil oleh sesuatu proses. Jurutera dan sejarawan British Donald Hill berkata tentangnya bahawa ia mengandungi teknologi gerakan sendiri, iaitu melalui lilin yang diletakkan di atas pinggan ringan yang di bawahnya terdapat silinder. Setiap kali lilin terbakar dan beratnya berkurang, silinder menolak pinggan ke atas secara berterusan.
Al-Jazari menggunakan dalam jam ini satu teknik yang tidak didahului oleh sesiapa pun dan masih digunakan sehingga hari ini, iaitu teknik menyambung bahagian dengan cara penyambung jantan dan betina (male female connector).
Dalam bidang jam mekanikal moden, Al-Jazari memperkenalkan dua penemuan yang menjadi asas pembuatan jam di Eropah pada abad ke-15 Masihi. Penemuan pertama ialah gear halus, dan kedua ialah penimbang jam, iaitu alat yang mengekalkan kestabilan kelajuan putaran gear, iaitu ia mengekalkan operasi jam pada kadar yang sama. Jika ia rosak, jam akan menunjukkan waktu dengan cara yang salah, sama ada lebih cepat atau lebih lambat.
Dalam bidang robotik, beliau membuat versi primitif pertama mainan yang dibuat dalam bentuk manusia, dan beroperasi dengan fungsi yang telah diprogramkan terlebih dahulu. Beliau membuat kumpulan muzik yang terapung di permukaan air yang terdiri daripada beberapa watak, setiap satunya mengeluarkan bunyi alat muzik tertentu. Alat ini dibuat khas untuk menghiburkan tetamu istana diraja di Diyarbakir.
Dalam kitabnya tentang sejarah perkembangan robotik, Mark E. Rosheim menggambarkan kumpulan muzik Al-Jazari dengan berkata: “Berbeza dengan orang Yunani, contoh-contoh robot Arab bukan sahaja mencerminkan perkembangan penting dalam reka bentuk, malah mencerminkan kecenderungan untuk menggunakan sumber yang tersedia untuk keselesaan manusia.”
Dalam bidang kesihatan, Al-Jazari mencipta mekanisme untuk mengalirkan air di tempat wuduk dan bilik mandi. Beliau mencipta besen untuk membasuh tangan, dan di sisinya terdapat alat berbentuk pelayan wanita. Besen itu dipenuhi dengan air bersih, dan apabila pengguna selesai membasuh tangan, dia menarik tuas di sisi besen, maka air yang digunakan akan mengalir keluar dari besen melalui saluran pembuangan, sementara pelayan automatik itu mengisi semula besen dengan air bersih. Ini adalah mekanisme yang digunakan dalam bilik mandi kita hari ini.
Akhir sekali, tetapi tidak kurang pentingnya, ialah Jam Gajah. Jam ini dianggap antara karya terbaik yang pernah dicipta manusia sehingga hari ini. Ia adalah jam berbentuk gajah, yang beroperasi melalui sistem air mengalir yang tersembunyi di dalam perut gajah. Gajah itu sendiri dibuat dengan cara yang menakjubkan, di mana Al-Jazari menghiasinya dengan cara seni yang halus, dengan membahagikannya kepada enam bahagian, setiap bahagian membawa elemen budaya tertentu iaitu: Arab, Firaun, Cina, India, Afrika dan Yunani.
Orang Barat menganggap Jam Gajah sebagai khazanah zaman dan antara ciptaan manusia yang paling hebat, serta versi awal kepada konsep pertemuan dan kepelbagaian tamadun. Banyak salinan jam legenda ini telah dibuat. Terdapat satu salinan jam yang dibuat khas untuk sebuah muzium di Switzerland yang mengkhusus dalam sejarah perkembangan alat pengukur masa, dan terdapat satu salinan yang sangat tepat di Universiti King Saud di Arab Saudi, serta satu lagi dipamerkan di Kompleks Membeli-belah Ibn Battuta di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
๐—๐—ฎ๐—ฟ๐—ถ๐—ฎ๐—ต ๐—œ๐—น๐—บ๐˜‚ ๐˜†๐—ฎ๐—ป๐—ด ๐—•๐—ฒ๐—ฟ๐—บ๐—ฎ๐—ป๐—ณ๐—ฎ๐—ฎ๐˜
Al-Jazari meletakkan dalam kitabnya “Al-Jami’ baina al-‘Ilm wa al-‘Amal al-Nafi’ fi Sina’at al-Hiyal” hasil kerja gigih yang berterusan selama 25 tahun. Daripada cara penyampaiannya, jelas bahawa sarjana ini ingin agar mereka yang berminat selepasnya memanfaatkan ilmunya, di mana beliau meletakkan secara terperinci cara membuat setiap mesin yang diciptanya.
Kitab yang memukau Barat ini telah diterjemahkan ke beberapa bahasa dan dipamerkan di banyak muzium di seluruh dunia seperti Turki, Perancis dan Britain.
Kitab ini juga turut dicetak pada abad ke-16 oleh percetakan keluarga Medici, yang memerintah Florence di Itali. Keluarga ini adalah penaung pencipta dan seniman Itali terkenal Leonardo da Vinci, yang mana menurut Ensiklopedia Britannica, tokoh ini telah mempelajari kitab Al-Jazari kerana terinspirasi daripadanya.
.
๐—ฆ๐˜‚๐—บ๐—ฏ๐—ฒ๐—ฟ: 
www.aljazeera.net/news/2013/11/17/ู…ุฎุชุฑุน-ุงู„ู…ุญุฑูƒ-ูˆูƒุจูŠุฑ-ุงู„ู…ู‡ู†ุฏุณูŠู†-ุงู„ุฌุฒุฑูŠ
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Kesibukan Bekerja Penyebab Ilmu 'dilupakan'

Kesibukan Bekerja Penyebab Ilmu ‘dilupakan’

Next Post
Oktober diisytihar bulan al-Quran

Oktober diisytihar bulan al-Quran

Related Posts