
KUALA LUMPUR: Guru kaunseling dan warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Miswati Lundu berpendirian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir seorang pelajar biasa yang cuma suka berkawan.
Pada prosiding di Mahkamah Khas Koroner di Papar, Sabah, hari ini, saksi ke-48 inkues kes kematian Zara Qairina iyu menyatakan hanya pernah bertemu Allahyarhamah dalam dua sesi kaunseling berkelompok iaitu masing-masing pada 5 dan 14 Mac lalu.
Berdasarkan sesi kaunseling, saksi memberitahu cuma dapat mengenal pasti berkenaan masalah salah faham Zara Qairina dengan kawannya dan tiada isu lain berbangkit.
Sebagai cikgu kaunseling, saksi berpendapat atas penilaiannya ketika sesi kaunseling dijalankan terhadap Zara Qairina, pelajar itu tidak menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan kesedihan.
Menceritakan semula keterangan saksi itu, pasukan guaman mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan berkata, saksi memberitahu mahkamah selain dua sesi kaunseling, beliau tidak pernah menerima apa-apa aduan berkaitan buli atau tekanan daripada Zara Qairina mahupun ibu bapanya.
“Menurut saksi, kedua-dua sesi kaunseling itu disebabkan aduan
daripada pelajar-pelajar lain yang membuat aduan dan persepsi jahat kepada Zara.
“Dalam sesi pertama (5 Mac), saksi berkata, seorang pelajar ‘junior’ yang lain telah ‘lupa kawan’ selepas dia berkawan
dengan Zara Qairina.
“Zara Qairina pula juga menjelaskan dia cuma berkawan dengan pelajar ‘junior’ itu seperti biasa,” menurut kenyataan ringkasan harian prosiding inkues itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.
Pada sesi kedua, 14 Mac, saksi mendengar aduan seorang pelajar ‘junior’ mengatakan dia melihat seorang pelajar ‘junior’ membuat perkara tidak senonoh terhadap Zara Qairina.
“Namun, selepas mendengar penjelasan semua pelajar terbabit saksi mendapati aduan itu hanya persepsi dan gurauan pelajar ‘junior’ yang dituduh.
“Dalam kedua-dua sesi kaunseling, saksi memberikan nasihat kaunseling kepada semua pelajar terbabit berkenaan pemahaman diri, pengurusan emosi dan teknik menyelesaikan konflik secara matang,” kata keterangan itu.
Saksi memberitahu beliau dan Unit Disiplin menyediakan satu ‘laporan satu muka surat’ 14 Mac.
Seterusnya, pada 17 Julai saksi bersama dengan seorang lagi guru dan dua pelajar Tingkatan Empat membantu untuk mengemas barangan peribadi Zara Qairina
Ketika mengemas, mereka menemui diari berwarna coklat serta sebuah buku latihan dikatakan milik Zara Qairina.
Saksi mengaku membaca kedua-dua buku yang dijumpai tetapi berkata, ia hanya pembacaan ‘tidak teliti’.
Hasil pembacaan tidak teliti itu, saksi membuat andaian Zara Qairina mempunyai masalah keluarga.
Saksi bersetuju andaian itu adalah seperti apa yang disebarkan di media sosial sebelum prosiding inkues.
Saksi juga mengaku, tiada siapa mengarahkannya untuk membaca kedua-dua buku itu dan tiada siapa mengarahkannya membuat andaian.
Sumber: Berita Harian