
MEMASUKI hari ke-24 pelayaran, armada Global Sumud Flotilla kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya apabila semakin menghampiri zon kritikal di perairan antara Greece dan Libya.
Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Zulfadhli Khiruddin, memaklumkan bahawa pasukan flotila yang disertai lebih 50 kapal pelbagai saiz sedang bersiap untuk bertemu kumpulan terakhir dari Greece dalam tempoh 24 jam.
“Kami memulakan pelayaran dari Barcelona, singgah di Tunis, dan kini meneruskan perjalanan menuju Gaza, insya-Allah.
“Setiap hari kami berada dalam keadaan ‘high alert’ dan menjalani latihan berkala bagi menghadapi sebarang kemungkinan pemintasan oleh pihak Zionis,” katanya.
Zulfadhli, salah seorang daripada 15 wakil Malaysia dalam misi kemanusiaan ini, turut berkongsi pengalaman berada di atas kapal yang majoritinya dihuni aktivis bukan Islam.
Menurutnya, perbezaan latar belakang tidak menjadi penghalang untuk menjalani rutin harian secara harmoni.
“Kami hanya makan sekadar perlu, dan kebanyakannya makanan vegetarian. Suasana di sini sangat saling menghormati,” jelasnya dalam satu hantaran video pada Selasa.
Beliau turut menekankan bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang pelayaran tidak seberat penderitaan rakyat Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan yang jauh lebih getir.
“Kami mohon sokongan dan doa agar misi memecah kepungan Gaza berjaya. Paling penting, masyarakat perlu ambil peduli tentang nasib saudara kita di sana,” katanya.
Sumber: Astro Awani