Pendakwah Perlu Jaga Maruah Dan Integriti – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Susulan laporan siasatan terhadap seorang penceramah bebas yang didakwa terbabit dalam penyebaran video seks, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menggesa agar semua pendakwah dan agamawan menjaga maruah serta akhlak selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau menyifatkan isu itu bukan sahaja mencemarkan nama individu terbabit, malah turut menjejaskan imej institusi dakwah secara keseluruhan.

“Saya memandang serius laporan media mengenai siasatan pihak PDRM terhadap seorang penceramah bebas kerana ia bukan sahaja mencemar maruah individu yang terlibat, malah mencemarkan imej institusi dakwah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap para agamawan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, usaha melahirkan pendakwah berintegriti sentiasa menjadi keutamaan pihaknya menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Sehingga kini, seramai 364 orang sudah menjalani latihan intensif menerusi kedua-dua program sejak ia dimulakan pada tahun 2014. Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah MADANI,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi, apatah lagi terlibat dalam perbuatan tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang.

Menurutnya, mereka yang bergerak secara bebas tanpa pemantauan institusi juga perlu mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan isu sedemikian, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil.

Sumber: Buletin Tv3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Karangkraf Sumbang 150 Al-Quran Dan Buku Ilmiah Ke Penjara Kajang

Next Post

PPZ-MAIWP Terima Zakat Perniagaan RM53.2 Juta

Related Posts