Semangat Hijrah Asas Perkukuh Ummah Mendepani Cabaran – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini digesa menjadikan semangat hijrah sebagai asas memperkukuh kekuatan ummah dalam mendepani pelbagai cabaran semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, penghayatan terhadap hijrah harus diterjemahkan melalui keberanian untuk berubah – daripada ketakutan kepada harapan, kelalaian kepada kesedaran, kebencian kepada kasih sayang serta daripada kepentingan peribadi kepada kesejahteraan bersama.

“Semangat hijrah ini juga menjadi asas kepada Pelan Transformasi Al-Falah yang digerakkan demi membentuk ekosistem masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selari dengan maqasid syariah serta cita-cita negara menuju Ihsan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Na’im berkata, masyarakat Islam kini berdepan pelbagai cabaran yang menguji jati diri, antaranya krisis identiti era digital, gejala sosial yang meruncing, kelesuan semangat kolektif serta kefahaman agama yang terpisah daripada realiti semasa.

“Menjawab keresahan ini, kita perlu kembali menggali ibrah hijrah – sejarah agung yang mengajar kita membina kekuatan dari dalam.

“Hijrah menuntut kita memperkukuh tiga tiang utama pembinaan ummah iaitu kefahaman Islam yang seimbang, pembentukan institusi keluarga sebagai benteng awal peradaban serta komitmen kolektif warga mengangkat nilai murni dalam masyarakat dengan semangat ta’awun, islah dan ihsan,” katanya.

Beliau menegaskan, kekuatan dalaman inilah yang menjadi tonggak kelestarian masyarakat Islam di Malaysia agar kekal relevan, progresif dan bersatu dalam menghadapi perubahan zaman.

Sambutan itu turut meraikan individu cemerlang yang menerima pengiktirafan atas sumbangan masing-masing.

Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M diberikan kepada Datuk Mohd Fadzli Yusof, 81, atas kepakaran dalam bidang perbankan, takaful serta pendidikan dan korporat.

Sumber: Buletin Tv3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pengasas Takaful Malaysia Dinobat Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan

Next Post

Galeri Khas Nurly Sahirah Akan Dibina Di UPSI – Mohd Na’im

Related Posts