
LANGKAWI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau keadaan tujuh pelajar Malaysia yang masih berada di Iran, susulan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pemantauan itu dilakukan hasil kerjasama erat dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) yang memaklumkan jumlah pelajar terbabit kepada pihaknya.
“Kita telah bekerjasama dengan pihak KLN yang memaklumkan kepada kita (mengenai jumlah pelajar di Iran).
“Malah, ketika saya berada di Iran beberapa minggu lalu, difahamkan terdapat tujuh pelajar Malaysia di sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, walaupun pelajar terbabit tidak berdaftar secara rasmi dengan KPT, kebajikan mereka tetap menjadi keutamaan.
“Mereka tidak berdaftar dengan kita, namun sebagai rakyat Malaysia, keberadaan dan kebajikan mereka tetap menjadi perhatian. Kita akan terus memantau perkembangan mereka,” katanya lagi.
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku