
BANGI, 11 RAMADAN — Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menegaskan bahawa unsur lucah tidak perlu dalam membawa mesej Islam.
Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata strategi ini bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam malah boleh merosakkan mesej dakwah yang ingin disampaikan.
“Ketika ditanya mengenai isu ini, pengarahnya memberikan jawapan bahawa filem sekadar membawa mesej agama.
“Pada hakikatnya dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan malah ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri.
“Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini meluahkan kekesalan terhadap drama “Bidaah”.
Tular video di media sosial babak panas pelakon Vanidah Imran dan Faizal Hussein dalam drama atas talian “Bidaah”.
Karya terbitan Erma Fatima itu mendapat kecaman hebat kerana mengandungi babak lucah dalam menyampaikan mesej Islam.
Ahmad Sanusi berkata, jika elemen lucah sengaja dimasukkan bagi menarik perhatian penonton, ia merupakan satu bentuk eksploitasi yang bertentangan dengan prinsip Islam.
“Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bertujuan menarik penonton melalui konsep bad marketing.
“Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam,” katanya.- Tv Pertiwi
#islamhidupku