
Ramai pasangan yang sedang bercinta menjadikan sambutan Valentine’s Day pada 14 Februari sebagai hari keramat bagi mereka. Ada yang akan keluar bersama, sama ada pergi tengok wayang, makan malam, membuat kejutan hadiah, dll. Namun di sisi Islam hukum meraikan hari kekasih adalah HARAM walau dengan apa jua cara sekali pun.
Dari sudut fiqh ia haram kerana berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, sama ada di tempat terbuka mahupun tertutup dan saling bermesraan antara satu sama lain. Ia merupakan budaya bukan Islam yang menyimpang jauh dari landasan sebenar sehingga menjadi sebab berlakunya zina dengan banyak.
[[ DEFINISI ZINA ]]Zina merupakan perbuatan keji dan terkutuk di dalam Islam kerana ia merosakkan kehidupan dari sudut keturunan, menjatuhkan maruah dan mendorong kepada gejala sosial yang buruk. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Perbuatan zina termasuk dalam kategori dosa besar seperti yang disebutkan di dalam sebuat hadis daripada Abdullah r.a., beliau berkata:
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ قُلْتُ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ مِنْ أَجْلِ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ قُلْتُ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ
Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Dosa apakah yang paling besar? Baginda menjawab: Engkau menjadikan tandingan atau sekutu bagi Allah, sedangkan Dia telah menciptakanmu. Aku bertanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: Membunuh anakmu kerana takut dia akan makan bersamamu.” Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab lagi: Kamu berzina dengan isteri jiranmu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang apa itu Valentine’s Day, mari sama-sama kita bacakan asal-usul sambutan ini dalam masyarakat bukan Islam.
[[ SEJARAH VALENTINE DAY ATAU HARI KEKASIH ]]Santo Valentine ialah nama seorang paderi yang dianggap pelindung bagi golongan yang sedang mabuk bercinta. Maharaja Claudius melarang pemuda-pemuda bujang dari berkahwin. Dia menganggap tentera yang masih bujang jauh lebih berprestasi berbanding yang sudah berkahwin. Perkara ini ditentang oleh Valentino dan tanpa pengetahuan Maharaja Clausdius, beliau telah mengahwinkan pasangan pemuda-pemudi.
Valentino telah dihukum pancung di Rome pada 14 Februari 270M dan dikebumikan di tepi jalan Flaminia. Dia dihukum mati kerana melanggar perintah yang dibuat oleh Maharaja Claudius II Gothicus. Pada tahun 496M, pihak Vatican yang diketuai oleh Paus Glasisus I telah menjadikan kisah ini sebagai satu perayaan dengan nama St.Valentine’s Day sebagai menghormati Santo Valentino yang dirayakan pada setiap 14 Februari.
[[ HUKUM MENYAMBUT VALENTINE’S DAY ]]Hukum bagi umat Islam menyambut Valentine’s day adalah HARAM. Ini berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 yang berpandangan bahawa:
“Ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”
Selain itu, berdasarkan Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Bayan Linnas, mereka menyatakan bahawa:
“Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam.
Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia. Ia juga bercanggah dengan norma dan fitrah asal manusia berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Pew Research Center . Ia membuktikan penduduk dunia secara umum dan majoritinya masih melihat hubungan luar nikah sebagai satu perkara yang tidak dapat diterima”
[[ KENAPA KITA DILARANG MENYAMBUT VALENTINE’S DAY? ]]1) MENIRU PERBUATAN AGAMA LAIN
Perayaan Valentine’s Day ini bukanlah ajaran Islam. Ia bersumberkan daripada ajaran Kristian seperti yang diceritakan di dalam sejarahnya. Islam melarang keras umatnya meniru atau menyerupai budaya hidup orang bukan Islam termasuklah mana-mana perayaan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
(HR Abu Daud, hadis hasan)
2) MENDORONG KE ARAH PERBUATAN MAKSIAT
Kebanyakan pasangan yang meraikan Valentine’s Day akan cenderung untuk melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam. Sambutan aktiviti hari kekasih secara berdua-duaan atau berkumpulan dengan yang bukan mahram boleh menjurus kepada perbuatan maksiat yang lain.
Pada 14 Februari jugalah pusat-pusat hiburan atau kelab malam akan menawarkan acara maksiat besar-besaran seperti bersentuhan, minum arak, terlibat dengan dadah, berkhalwat dan berzina.
3) MEROSAKKAN AKIDAH UMAT ISLAM
Selain merosakkan akhlak, Islam juga menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana ia boleh menggugat akidah Islam berdasarkan unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya.
Hal ini kerana sambutan hari Valentine’s Day mempunyai ritual dan amalan dalam agama Kristian. Ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Dalam penghayatan dan pengalaman kehidupan seharian, islam mempunyai tatacara hidupnya yang tersendiri berdasarkan panduan al-Qur’an dan al-Hadith. Penghayatan dalam agama hendaklah berteraskan kedua-dua panduan ini samaada dalam ibadah, muamalah ataupun akhlak.
Oleh kerana itu, amatlah jelas sekali kenapa melarang meraikan Valentine’s day kerana ia akan membawa kepercayaan yang boleh mendorong kepada suatu kepercayaan lain yang seterusnya boleh memesong dan menyeleweng dari aqidah Islamiah yang suci.
4) MENDORONG KEPADA PERLAKUAN ZINA DAN MELAHIRKAN ANAK LUAR NIKAH
Memang benar Islam menggalakkan umatnya agar berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi melalui cara yang dibenarkan iaitu perkahwinan yang sah. Namun perbuatan berkasih sayang sebelum perkahwinan boleh mendorong kepada zina dan melahirkan anak luar nikah. Ia merosakkan keturunan, kehidupan, menjatuhkan maruah seseorang dan membawa kepada pelbagai lagi masalah sosial yang buruk.
Firman Allah yang bermaksud:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Dalam Islam setiap hari adalah hari kasih sayang buat kita semua, sama ada suami isteri, ibu bapa kepada anak, anak kepada ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga dan seluruh manusia secara amnya kerana tidak ada hari-hari tertentu untuk berkasih sayang.
Islam sama sekali tidak melarang kita semua untuk menzahirkan kasih sayang, namun tidak ada jalan yang terbaik untuk ia direalisasikan kecuali melalui perkahwinan sepertimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.anhuma dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ
Maksudnya: “Kami belum pernah melihat dua orang yang bercinta sebagaimana orang yang menikah.”
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
🔸 HARAM bagi umat Islam menyambut “Valentine’s Day” atau hari kekasih kerana ia merupakan budaya bukan Islam yang mengundang maksiat zina.
🔸 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 menyatakan bahawa hukum orang Islam menyambut Valentine’s Day adalah HARAM kerana tidak ada hari tertentu di dalam Islam untuk menzahirkan kasih sayang dan memutuskan bahawa Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Semoga bermanfaat buat semua.
Ustazah Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
14 Feb 2023, ulang siar
#islamhidupku