Elak Buat Spekulasi, Serah Pihak Berkuasa Siasat Aktiviti Pelik Zikir Di Kubur – Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar meminta sesiapa ada maklumat mengenai video tular memaparkan sekumpulan individu didakwa berzikir dalam keadaan pelik di tanah perkuburan Islam di Danau Kota, Setapak, dekat sini, menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Katanya, maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh membantu siasatan yang akan dijalankan.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah diarah untuk membuat siasatan terperinci susulan kejadian berkenaan. Pihak yang mempunyai maklumat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan.

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memohon semua pihak menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa agama, beliau turut menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Rakaman video yang tular itu pada mulanya dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama Rizuwan Rosly yang turut meluahkan kerisauan apabila melihat sekumpulan individu melakukan aktiviti mencurigakan di tanah perkuburan itu.

Bagaimanapun, semakan BH mendapati rakaman video berkenaan yang mendapat pelbagai maklum balas dari kalangan warganet, sudah dipadamkan dan pemilik Facebook terbabit pada ruangan komen memberitahu dia sudah membuat laporan mengenai kejadian tersebut dan menyerahkan kepada jabatan agama untuk menyiasat.- Berita Harian

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dialog agama bertujuan menzahirkan kebenaran islam, bukan menyamaratakan semua agama

Next Post

Kerajaan Kelantan Tetapkan 7 Kategori Premis Perlu Dapat Sijil Halal

Related Posts