
PENGANJURAN Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ at-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya malam kelmarin, memperlihatkan usaha Malaysia mengangkat tradisi keilmuan Islam sebagai sebahagian agenda pembangunan negara.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Wakaf Mesir, Syeikh Dr Usama al-Sayyid al-Azhari.
Kedua-dua peristiwa ini mempunyai kepentingan tersendiri dalam memperkukuh pendidikan Islam, jaringan ulama antarabangsa dan diplomasi peradaban.
Majlis yang berlangsung sejak 13 November itu menghimpunkan sekitar 10,000 peserta bersama 40 ulama tempatan dan antarabangsa. Acara kemuncaknya menampilkan tausiah Menteri Wakaf Mesir, diikuti syarahan serta pengijazahan oleh Mufti Besar India, Syeikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari. Kehadiran tokoh-tokoh itu membuktikan bahawa tradisi ilmu Islam terus berkembang melalui jaringan keilmuan merentas sempadan.
Sama’ hadis adalah tradisi mendengar pembacaan hadis daripada guru melalui disiplin periwayatan dan sanad. Kepentingannya bukan sekadar menyelesaikan pembacaan kitab, tetapi memastikan kesinambungan ilmu, ketelitian penyampaian dan pemeliharaan autoriti keilmuan. Dalam era perkembangan teknologi maklumat, tradisi ini mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan kesahihan sumber dan bimbingan ilmiah.
Pemilihan Jami’ at-Tirmidhi dan Syam’il al-Muhammadiyyah memberi makna tersendiri kepada majlis ini. Jami’ at-Tirmidhi memuatkan pelbagai aspek akidah, ibadah, hukum dan kehidupan bermasyarakat, manakala Syam’il al-Muhammadiyyah memperincikan keperibadian, akhlak serta kehidupan Rasulullah SAW. Kedua-duanya melengkapkan usaha membentuk masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi turut menghayati nilai amanah, keadilan dan ihsan.
Penganjuran tahun ini adalah kesinambungan inisiatif Kerajaan MADANI yang bermula dengan Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025. Kesinambungan itu memperlihatkan komitmen kerajaan menjadikan pengajian hadis sebagai kegiatan keilmuan yang berterusan, bukan sekadar acara keagamaan bermusim.
Menariknya, Anwar menjelaskan bahawa gagasan ini tercetus daripada nasihat Syeikh Abu Bakar ketika pertemuan mereka di Kerala, India, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri. Pengakuan itu menggambarkan hubungan pemimpin dengan ulama yang melangkaui penghormatan simbolik, sebaliknya turut membabitkan penerimaan nasihat dan tuntutan memperkukuh institusi ilmu.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan kepentingan madrasah, pondok, pesantren dan maahad tahfiz sebagai benteng mempertahankan akidah, akhlak dan jati diri umat. Sejarah merakamkan institusi pendidikan tradisional memainkan peranan penting dalam memelihara ilmu Islam ketika masyarakat berhadapan tekanan penjajahan.
Namun begitu, pemerkasaan institusi itu pada masa kini perlu melangkaui pemulihan fizikal.
Penambahbaikan kurikulum, latihan perguruan, penyelidikan, kemudahan digital dan pembangunan kompetensi graduan mesti diberikan perhatian supaya institusi pendidikan Islam kekal relevan dengan keperluan semasa.
Dalam konteks hubungan antarabangsa, kunjungan Menteri Wakaf Mesir pula membuka ruang yang luas dalam usaha memperkukuhkan diplomasi pendidikan Malaysia–Mesir. Hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin sejak 10 November 1959 sedangkan hubungan keilmuan sudah lama berkembang menerusi pengajian pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar dan institusi pendidikan Mesir.
Hubungan itu memperoleh momentum baharu melalui lawatan negara Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi ke Malaysia pada 9 hingga 10 Oktober lalu. Pertemuan beliau dengan Anwar menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman yang merangkumi pendidikan tinggi, pelaburan, pelancongan dan pemerkasaan wanita.
Kunjungan Syeikh Usama pada 23 November memperkukuhkan lagi kesinambungan diplomasi tersebut. Selain menyampaikan salam persahabatan Presiden al-Sisi, pertemuan berkenaan membincangkan pendidikan pelajar Malaysia di Mesir serta kerjasama pembangunan ummah.
Kepentingannya terletak pada peluang menjadikan hubungan politik sebagai landasan memperluas kerjasama keilmuan.
Perkasa pelbagai bidang strategik
Bagi unjuran masa hadapan, terdapat beberapa bidang strategik yang boleh diberikan keutamaan oleh kedua-dua pihak dari Malaysia dan Mesir.
Pertama, Malaysia dan Mesir wajar memperkukuh kerjasama institusi melalui pertukaran pensyarah, latihan pendakwah, penyelidikan bersama dan peluasan peluang pengajian.
Kesediaan Mesir meningkatkan kemasukan pelajar Malaysia ke al-Azhar menyediakan asas untuk memperluaskan jaringan pendidikan kedua-dua negara.
Kedua, Malaysia berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengajian hadis antarabangsa di rantau Asia Tenggara. Penganjuran majlis sama’ hadis secara berterusan boleh disokong melalui penerbitan terjemahan bermutu, pendigitalan manuskrip, penyelidikan sanad dan pembangunan pangkalan data hadis yang boleh dimanfaatkan masyarakat.
Ketiga, kerjasama pendidikan Islam boleh diperluaskan kepada bidang kontemporari seperti kecerdasan buatan, teknologi digital, perubatan dan pengurusan wakaf. Pendekatan bersepadu ini membolehkan warisan keilmuan Islam berinteraksi dengan perkembangan sains dan teknologi tanpa mengorbankan asas akidah serta akhlak.
Keempat, keberkesanan kerjasama perlu dinilai melalui petunjuk pencapaian yang jelas, termasuk jumlah program akademik bersama, penyelidikan diterbitkan, tenaga pengajar dilatih dan manfaat kepada masyarakat. Jawatankuasa bersama Malaysia–Mesir yang dijadualkan pada suku pertama 2027 boleh menjadi platform memperincikan pelaksanaannya.
Dalam hubungan ini, ungkapan Anwar mengenai keperluan “menggapai di langit, mengakar di bumi” menggambarkan falsafah pembangunan yang mengimbangi kemajuan teknologi dengan kekuatan nilai dan jati diri. Kemajuan ekonomi dan teknologi perlu disertai integriti, amanah serta keadilan supaya pembangunan membawa kesejahteraan menyeluruh.
Kesimpulannya, kedua-dua Majlis Khatam Sama’ Hadis 2026 dan kunjungan Menteri Wakaf Mesir menawarkan asas bagi memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat jaringan keilmuan Islam antarabangsa. Cabaran seterusnya adalah memastikan momentum itu diterjemahkan kepada dasar, institusi dan program yang berkesan agar tradisi ilmu terus berkembang serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat beradab dan negara sejahtera.
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Kuliah Imu Wahyu dan Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Sumber: