“Al-Quran bukan sekadar bacaan di bibir” – Nik Nooraini Ab Jalil

KOTA BHARU, 26 Ogos – Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan yang memilih Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini sebagai lokasi pada 30 Ogos ini bukan sekadar mengajak orang ramai membaca, sebaliknya berinteraksi serta menyelami mesej yang terkandung di dalamnya.
Pengarah Malaysia #QuranHour Kelantan, Nik Nooraini Ab Jalil berkata, pemilihan dua surah iaitu al-Muzzammil dan al-Balad itu selari dengan hasrat mereka untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dekat dengan kehidupan masyarakat, bukan hanya berhenti sebagai bacaan di bibir.

“Kita ingin bersama-sama, terutama komuniti setempat, menghayati surah pilihan serta menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan seharian.

“Kita hidupkan al-Quran bukan sekadar bacaan di bibir, tetapi dalam jiwa dan tindakan,” katanya.
Program Malaysia #QuranHour 2026 kembali membawa seruan ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’ dengan pengisian yang menekankan penghayatan al-Quran sebagai panduan membentuk masyarakat berakhlak dan penyayang.
Penganjuran peringkat kebangsaan akan berlangsung di Masjid Al-Sultan Abdullah, Jalan Stadium, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Nik Nooraini memberitahu, program bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, ahli Rumah Ngaji, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan swasta (IPTS), badan beruniform, asnaf serta agensi kerajaan, swasta dan badan berkanun.

Ujarnya, antara pengisian utama ialah solidariti mengaji yang memberi ruang kepada peserta berinteraksi dengan surah pilihan, selain forum yang menampilkan tiga penasihat daripada Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK).

“Ini bukan sekadar program datang, duduk dan membaca. Kita mahu peserta pulang dengan sesuatu yang boleh dibawa ke rumah, keluarga, tempat kerja dan kehidupan masing-masing.

“Harapnya selepas program ini, al-Quran terus hidup dalam diri kita dan diterjemahkan melalui tindakan,” katanya.

Lebih menarik, ujar beliau, program berkenaan turut diserikan dengan jamuan gulai kawah hasil sumbangan seekor lembu daripada ahli, sekali gus menyediakan ruang untuk masyarakat berkumpul dan mengeratkan silaturahim.

Menurut Nik Nooraini, program yang berlangsung dalam bulan Maulidur Rasul itu akan diakhiri dengan selawat beramai-ramai.

“Jadi, kami menjemput masyarakat hadir beramai-ramai pada 30 Ogos ini. Mari kita luangkan masa bersama al-Quran dan hidupkan mesejnya dalam kehidupan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JAKIM Anjur Solat Hajat, Bacaan Doa Susulan Jerebu Melanda Negara

Next Post
Maulidur Rasul: Kesatuan ummah berdepan cabaran, pemimpin Islam perlu kurangkan sengketa - Sultan Nazrin

Maulidur Rasul: Kesatuan ummah berdepan cabaran, pemimpin Islam perlu kurangkan sengketa – Sultan Nazrin

Related Posts